Wednesday, November 19, 2014

BAPAK BAGINDA MUCHTAR @ BBM: Petunjuk Petunjuk Untuk Kesempurnaan 7 - page 74

PETUNJUK-PETUNJUK UNTUK  KESEMPURNAAN (7)


Dan adalah tenaga-tenaga yang keluar itu besar sekali, dan oleh kemahuan yang teguh dapat dikerahkan menurut kemahuan kita. Dan dengan kemahuan yang teguh, amat banyak kemungkinan-kemungkinan yang diidam-idamkan dengan mempergunakannya bisa diperdapat.


Dan adalah kedudukan kita dengan tenaga ghaib kita itu, laksana seorang pemburu dengan senjata automatik di tangannya. Di kala ada musuh, senjata tersebut tidak akan bergerak sendiri menembak, kalau tidak si pemburu yang bergerak untuk menembaknya. Hanya perbedaannya, senjata ialah benda mati sedangkan tenaga ghaib kita ialah keadaan sesuatu yang hidup. 



Dan oleh kerana dia hidup, maka pengalaman-pengalaman dan kemahiran kita dalam memakai dan mempergunakannya, menambah pengertian kita kepada lebih mendalam, sehingga menimbulkan dan mendatangkan saling kenal-mengenal satu sama lain, sehingga oleh kerana pandainya kita menurutkannya, maka dia yang tadinya asing dan luar bagi kita telah menjadi menurut pada kita. Dengan perkataan lain, kita telah mengerti padanya dan dia telah mengerti pula pada kita. 




Peningkatan, pengertian kita kepadanya akan meningkatkan pula kedudukan kita. Kalau tadinya kita dengannya, diumpamakan laksana seorang pemburu dengan senjatanya, maka kenaikan tingkat kita itu adalah laksana si penunggang dengan kudanya.




Sewaktu kita yang laksana seorang pemburu baru mendapat senjata, terlebih dahulu tentu kita pelajari senjata kita. Kita berlatih bagaimana cara merawatnya dan bagaimana cara mempergunakannya dan waktu itu alam fikiran kita hendak berburu untuk menembakkan senjata kita. Kita pergi berburu atau kita cari perburuan guna untuk mencuba dan memakai senjata kita.



Sehingga sampai mahir (lancar) kita dalam cara memakai dan mempergunakannya. Seorang pemburu yang baik, selain dari mahir dalam kepandaiannya mempergunakan senjata, juga hendaknya mempergunakan pula alam fikirannya dan sebaiknya berbudi-pekerti. Apa tujuan kita dengan mempergunakan fikiran dan berbudi itu? Maksudnya ialah supaya kalau kita menembak, janganlah sebarang tembak sahaja. 



Apalah gunanya umpamanya kita menembak seekor binatang yang tak akan memberi faedah kepada kita dan dibiarkan begitu sahaja jadi bangkai, apalagi dia tidak mengganggu kita? Bukankah dia juga makhluk hidup dan ingin pula memperkembang kehidupan di alamnya sendiri? 



Seorang pemburu yang berbudi dan mempergunakan akal fikirannya sudah tentu tidak akan menembak sebarang buruannya, dan tidak akan membuang peluru sebarang sahaja.




Pengertian dan kemahiran kita memakai senjata tadi mendatangkan peningkatan pada kedudukan kita dari seorang pemburu dengan senjata kepada seorang penunggang dengan kuda.




Masa menjadi seorang pemburu sebagai periode (tahap) pertama telah kita lewati, dan sekarang kita memasuki periode kedua, iaitu jadi seorang penunggang dengan kuda. Kuda ialah kenderaan bagi kita. 



Kalau tadinya kita dengan bersusah-payah dan memakai waktu yang lama mencapai tujuan kita, maka dengan perubahan kedudukan kita itu, dengan kenderaan yang telah kita punyai, maka akan lebih cepatlah kita sampai pada tujuan kita. Dalam praktik kalau kita tadinya mengangkat senjata, untuk menembak, maka setelah kita mempunyai kuda tunggangan, untuk mencapai tujuan kita harus dapat memegang talinya supaya dapat kita kendalikan.




Kalau tadinya kita mempunyai senjata, maka dengan meningkatnya kedudukan kita, sebagai tambahan kita mempunyai kuda tunggangan. Oleh kerananya kedudukan kita jadi merangkap.



Bahawa kita boleh jadi si penunggang dan sekaligus si pemburu, dengan mempunyai kenderaan kuda merangkap senjata.



Kalau si pemburu meletakkan senjata, maka berpisahlah antara yang satu dengan yang lain. Begitu pula kalau si penunggang turun dari kudanya. 



Si pemburu, walau bagaimana sekalipun mahirnya memakai senjata, kalau akan mempergunakan senjatanya, selama dia melakukannya dengan sikap duduk atau berdiri. 



Si pemburu yang mahir tadi setelah menjadi si penunggang kuda, sambil berjalan dan berlari dengan memegang tali tunggangannya, dia harus pandai mempergunakan senjatanya. 




Untuk ini, si penunggang tentu mengadakan latihan-latihan dan mencari pengalaman sebanyak mungkin.



Peralihan kita dari si pemburu kepada si penunggang tidak akan membawa perubahan pada badan kita secara kenyataan. Perhatikanlah seseorang yang memegang dua jabatan yang dinamakan merangkap. Umpamanya Presiden merangkap Perdana Menteri. Orangnya itu juga. Atau Menteri Dalam Negeri merangkap Gabenor atau Kepala Daerah tali usus ibu kota dan lain sebagainya. 



Akan tetapi, peralihan senjata kepada kuda sangat meminta perhatian yang saksama untuk diketahui proses perkembangannya sebab sangat berguna untuk kemajuan diri kita dan bagi masa depan kita.



Senjata dari si pemburu yang kita jadikan umpama dari tenaga ghaib yang telah kita punyai itu, tadinya kita anggap barang mati, aneh lagi ajaib setelah kita dapat menurutkan jalannya, perkembangannya dari senjata ke kuda, maka bertambah yakinlah kita bahawa tenaga ghaib kita itu hidup dan berasal dari sesuatu yang hidup, yang keluar dari diri kita melalui badan kita dan menembus alam sendiri melalui hujung tali-tali yang bertali tiada tergantung, dan dapat kita merasakannya melalui hujung jari-jari kita.


No comments:

Post a Comment